Wednesday, February 15, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 6]


Pada kuliah pagi itu, awal-awal lagi Khazinatul Asrar mengajak Suwaibah Aslamiyyah duduk di sebelahnya. Dia mengambil langkah berjaga-jaga sebelum Tsabit mengambil kesempatan untuk duduk di sebelahnya kerana Hijriah tak datang. Suwaibah Aslamiyyah memenuhi perlawaan Khazinatul Asrar tanpa banyak soal. Untuk kali inipun, nota berwarna biru lembut hadir lagi dalam buku yang dibawanya.

"Wahai pencuri, saya bertie biru di Cyber Café Kajang pada pukul 5.00 petang ini. Ayuh kita buat perhitungan!" Pandangannya segera beralih kepada pemuda yang berkedudukan di posisi belakangnya. Entah mengapa dia begitu curiga dengan pemuda yang memakai baju kemeja putih berbintik biru itu. Warna biru memang ada kaitan dengan pemuda itu. Tsabit yang menyedari Khazinatul Asrar sedang memandangnya dengan spontan membetulkan songkok di atas kepalanya sambil tersengih-sengih. Hati Khazinatul Asrar bertambah geram. Kali ini dia tidak berfikir panjang lagi.Hatinya penuh yakin. Lantas dia mencoretkan sesuatu di atas kertas dan menghulurkannya kepada Tsabit.

*Perhitungan! Cyber Café Kajang, 5.00 petang*

Khazinatul Asrar berazam pertemuan yang akan diadakan seringkas yang mungkin dengan Tsabit petang ini bakal mengajar Tsabit sesuatu. Berkeriuk dahi Tsabit menatap nota itu. Namun selepas seketika, dia tersenyum sendirian. Entah apa yang difikirkannya. Suwaibah Aslamiyyah juga mengeriukkan dahi melihat telatah aneh Khazinatul Asrar.

"Duhai kekasihku Ya Allah, peliharalah diriku dari fitnah.." hatinya berdoa tatkala menyedari temannya mula memikirkan sesuatu.

Pada petang itu…
"Kenapa dia bertai hitam? Kemeja pula merah jambu…" bisik hati kecil Khazinatul Asrar tatkala dia melihat dari jauh telatah Tsabit yang sedang mencari- cari seseorang di muka pintu Cyber Café. Lagaknya bagaikan orang yang sudah lama menunggu. Langkahnya terus disusun kemas menuju ke situ. Tsabit mula menyedari kemaraan gadis itu. Dibetulkan tainya agar lebih kemas. Entah keberapa kali dia membetulkannya…

"Saudara terlupa pakai tie biru?" sindir Khazinatul Asrar tatkala langkahnya betul- betul berhenti di hadapan Tsabit. Tubuhnya di hala ke arah lain. Tidak tergamak untuknya bertembung mata dengan pemuda kacak kacukan Libya itu. Ghoddul basor.

"Tie biru?" dahi Tsabit berjalur dengan tanda tanya.

"Ya…tie biru! Atau…mungkin tie biru itu sebenarnya yang telah saya curi. Maklumlah saya ni kan pencuri.." Khazinatul Asrar menyindir lagi.

"Asrar, apa yang awak cakap ni?" wajah Tsabit kebingungan.

"Maafkan saya saudara…saya datang ni pun untuk mengucapkan terima kasih kerana memberi gelaran pencuri kepada saya. Sebagai penghargaan dari saya, saya pun ingin menggelarkan saudara sebagai perompak. Perompak ketenangan orang lain. Maafkan saya…" kata-kata Khazinatul Asrar bagaikan duri mawar yang menusuk kalbu. Dia pantas berlalu dari situ dan segera menaiki teksi yang sedia menanti. Tsabit masih terpinga-pinga di muka pintu. Tiba-tiba badannya dirempuh oleh seorang pemuda bertai biru yang berlari tergesa-gesa seperti mengejar seseorang. Pemuda itu sempat meminta maaf daripada Tsabit. Tsabit semakin keliru.

Tidak seperti selalu, Khazinatul Asrar hanya duduk di bilik pada malam itu. Badannya direbahkan di atas tilam. Peristiwa di Cyber Café petang tadi masih segar di fikirannya. Hatinya puas. Dia berharap agar Tsabit tidak akan mengganggunya lagi dengan nota-nota berwarna biru lembut itu. Namun dia masih dilanda persoalan bagaimana Tsabit boleh meletakkan nota-nota itu ke dalam bukunya tanpa disedari. Sesuatu yang mustahil. Secara logiknya, hanya orang yang terdekat sahaja boleh melakukannya. Orang terdekat? Hijriah… Mungkinkah Hijriah terlibat dalam hal ini? Hijriah? Ah…tak mungkin Hijriah. Perkara kecil sekalipun Hijriah tak mampu nak rahsiakan daripada Khazinatul Asrar. Dia sahabat yang baik dan berterus terang. Nota-nota yang terkumpul itu terus dibelek-belek untuk mencari clue. Tsabitkah pengirimnya? Hatinya tiba-tiba dilanda serba-salah kerana membuat tindakan yang terburu-buru terhadap Tsabit. Segalanya didasari perasaan geram yang meluap-luap. Dia beristighfar menghitung dirinya. Hatinya terus berdialog sendiri.

Tiba-tiba, suatu suara halus mengejutkannya dari lamunan… suara yang tidak asing lagi. Dia bingkas berlari ke pintu dengan senyuman yang manis terukir.

" …Oh, saya gembira awak dah kembali," wajah Khazinatul Asrar penuh ceria menyambut kepulangan Hijriah. Salam dihulur dan mereka berdua saling bersalam berpelukan. Wajah Hijriah juga berseri dengan keceriaan.

"Saya ingat nak balik sini secara surprise sebab biasanya waktu-waktu begini awak dah ke perpustakaan… macam dah tahu-tahu saja saya nak balik sini…" Kedua-dua sahabat itu beriringan ke katil masing-masing.

"Entahlah…hati saya berat semacam je nak ke perpustakaan malam ni… tak sangka pulak itu petanda yang sahabat saya yang sorang ni nak balik sini," senyuman Khazinatul Asrar masih tak lekang di bibir.

"Ha…mesti siang malam awak asyik rindukan saya…" Hijriah mengusik disambut ketawa kecil Khazinatul Asrar. Dalam pada itu, mata hijriah melirik pada helaian- helaian nota berwarna biru lembut dalam genggaman Khazinatul Asrar.

"Nota apa tue?" Hijriah ingin tahu sambil tangannya pantas mencapai nota-nota itu dari genggaman Khazinatul Asrar. Kazinatul Asrar merelakan.

"Entahlah Hijriah... nota-nota ni sering mengganggu fikiran saya sejak akhir-akhir nie. Mungkin ini ujian Allah supaya saya sentiasa memuhasabah diri. Allah takkan bagi ujian kalau bukan kerana Dia sayangkan kita,kan?!" kata-kata itu menyebabkan Khazinatul Asrar direnung dalam-dalam oleh Hijriah. Mata Hijriah langsung tidak berkelip. Bagaikan ada rahsia besar yang tersimpan. Khazinatul Asrar agak terkejut apabila direnung begitu.

"Hijriah….?" Bibirnya mengungkap. Hijriah masih jauh meneroka anak mata Khazinatul Asrar.
"Hijriah, kenapa ni?" Khazinatul Asrar yang kehairanan cuba menduga. Air muka Hijriah segera berubah seperti orang yang baru disedarkan dari mimpi. Namun, dia hanya berdiam diri dengan pernyataan Khazinatul Asrar.

"Eh, ganjil sekali perangainya…" bisik Khazinatul Asrar kebingungan. Serentak dengan itu, Hijriah tiba-tiba bangun dari katilnya dan mendapatkan handbeg yang baru sebentar tadi diletakkan di atas meja study. Dia mencari-cari sesuatu. Khazinatul Asrar hanya mampu melihat telatah aneh Hijriah itu. Pelbagai soalan dan andaian menujah-nujah kotak fikiran. Hijriah mengeluarkan sekeping nota berwarna biru dari handbegnya dan nota itu diselitkan dalam salah satu fail kepunyaan Khazinatul Asrar yang tersusun kemas di atas meja study. Khazinatul Asrar yang menyaksikan semua itu bertambah keliru. Lidahnya kelu untuk menuturkan sesuatu kepada Hijriah yang berkelakuan ganjil itu.Hijriah kemudiannya menyerahkan fail yang diselitkan dengan nota berwarna biru itu tadi kepada Khazinatul Asrar. Dengan kebingungan, tangannya akur menyambut fail itu tanpa alasan biarpun mindanya sarat persoalan. Nota berwarna biru itu ditatapnya.

##Wahai pencuri, kau mungkin telah ke Cyber Café…namun tuntutan saya masih belum terlaksana. Masakan tidak, si perompak pula yang kau temui…not me!!##
Bersambung...

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner